APALAH NASIB FAIZAL TAHIR
2 Mei 2008
Diingatkan sudah berlalu peristiwa hitam dalam hidupnya tetapi kini timbul pula kontroversi baru. Nampaknya ada pihak yang merasakan Faizal Tahir belum lagi mendapat pengajaran yang sewajarnya dengan penggantungan dari kaca TV selama tiga bulan.
Semalam, mufti negeri Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin terus-terang memberitahu pihak media yang bintang One In A Million itu tidak patut membuat persembahan di Perlis.
“Saya secara peribadi menyebut nama Faizal selaku antara artis yang paling tidak patut dibenarkan hadir membuat persembahan di negeri ini selain artis aliran rock serta dangdut,” katanya.
Rasionalnya, Faizal yang berambut panjang, sering meraung dan terlompat-lompat ketika membuat persembahan, tidak sesuai untuk tontonan rakyat Perlis. Sebaliknya artis berunsur puisi seperti Kopratasa, Ramli Sarip dan Suhaimi Mior Hassan yang dirasakan lebih sesuai.
Tambahnya lagi, "Saya tidak anti-manusia bernama Faizal Tahir, tetapi keperibadian dan tingkah laku liar serta tidak matang artis itu setiap kali melakukan persembahan, jelas membayangkan imej kebudak-budakan.
“Bagi saya, perbuatan seperti melompat-lompat dan meraung seperti yang sering dipertontonkan artis itu, terutama insiden membuka baju ketika melakukan persembahan tidak boleh diterima di Perlis.
"Paling teruk, dia dilihat masih berada pada tahap krisis identiti kerana tidak tahu hala tuju sendiri. Malah, dia sendiri tidak tahu siapa dirinya yang sebenar kerana kejap mahu jadi manusia, kejap mahu jadi Superman.”

Dalam laporan Kosmo hari ini, Menteri Besar Perlis Datuk Dr Md Isa Sabu yang mengatakan dia “tidak kenal siapa Faizal Tahir” kerana “mungkin dia belum cukup popular” memberitahu bahawa teguran Dr Asri itu perlu dilihat secara positif. Dan semua pihak perlu akur agar program dapat berjalan lancar di samping mengelak dari perkara yang tidak diingini. Dia juga mendedahkan yang Dr Asri telah menemuinya untuk memberi penjelasan mengenai perkara itu.
Jika anda Faizal Tahir, salahkah jika anda merasakan apa yang dikatakan Dr Asri itu sebagai satu serangan peribadi (personal attack)? Tapi buat yang orang dimaksudkan, perkara ini tidak ingin dibesar-besarkan. Maklumlah kita sebagai manusia biasa tidak mungkin dapat memuaskan hati semua orang.
Bagi Faizal, respon yang terbaik adalah untuk fokus pada kerjayanya dan meneruskan matlamatnya di dalam industri muzik.
“Jika saya memberi komen, isu ini cuma akan berpanjangan. Yang saya nak katakan jika beliau kurang senang dengan saya, saya minta maaf,” kata Faizal yang ditemui semasa sesi latihan Anugerah Industri Muzik petang tadi.
Bila ditanya jika dia kecil hati dengan luahan Dr Asri, Faizal mengaku yang dia kecewa.
“Apa yang di katakan beliau memberi satu gambaran yang buruk terhadap saya bukan sahaja sebagai seorang penyanyi tetapi juga sebagai seorang suami dan bapa. Apapun saya tidak menyalahkannya kerana dia hanya ingin melakukan yang terbaik buat orang-orang Perlis.”
Faizal redha dengan dugaan yang tidak henti-henti menimpa dirinya. Baginya ini satu lagi ujian besar buatnya dan dia memang suka dengan cabaran.
“Saya akan kuatkan semangat. Buat masa ini saya hanya ingin memikirkan tentang AIM. Saya ingin lakukan persembahan yang terbaik pada malam itu.”

|